Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang berkata, pakatan baharu itu bagi mengimbangi kuasa sedia ada serta menjadi penasihat kepada kerajaan terutama dalam memberi tumpuan kepada agenda memperkasakan Perlembagaan.

Katanya, tumpuan tersebut juga termasuk memastikan rakyat menerima Islam sebagai agama Persekutuan dan menyangkal persepsi salah berhubung amalan Islam di negara ini sebagai Islamofobia.

“Pakatan ini mendukung prinsip dan pendekatan tidak ekstrem, tidak melulu sebaliknya pembangkang secara nasihat, pembangkang bukan sahaja di Parlimen tetapi bersua, selain terus memperjuang memperkasakan Perlembagaan me­­­ngikut lunas-lunas Islam.

“Kita lebih tertumpu kepada agenda umum iaitu memperkasakan Perlembagaan dan menerima Islam sebagai agama Persekutuan, selain melaksanakan tujuan dalam menangani isu berkaitan rasuah dan sosioekonomi. Semua yang dibincangkan dengan matlamat dan niat untuk sama-sama mencari penyelesaian dan membantu me­ngatasi segala masalah besar tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara Pas dan Ikatan dalam membentuk blok pakatan baharu pembangkang, di sini hari ini.

Penubuhan tersebut merupakan blok ketiga politik di negara ini selain Barisan Nasional (BN) dan pakatan pembangkang sedia ada bagi menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14).

Hadir sama, Presiden Ikatan, Tan Sri Abdul Kadir Sheikh Fadzir; Timbalan Presiden Pas, Datuk Tuan Ibrahim Tuan Man dan Setiausaha Agung Pas, Datuk Takiyuddin Hassan.

Tambah Abdul Hadi, sebuah sekretariat akan diwujudkan yang terdiri daripada Setiausaha Agung Pas, Ketua Penerangan, Ketua Pemuda, Ketua Wanita dan Pengarah Pilihan Raya.

“Sementara Ikatan yang dilancarkan pada Mei tahun lalu akan menghantar lima pimpinan tertingginya bagi tujuan merangka dan merancang beberapa isu dan hala tuju permuafakatan ini. Jawatan Presiden di bawah sekretariat itu juga akan diwujudkan tidak lama lagi,” ujarnya.

Sementara itu, Abdul Kadir menafikan bahawa gabungan itu dipersetujui untuk menumpang kekuatan Pas sebaliknya dilihat sebagai langkah terbaik kerana parti tersebut mengamalkan ajaran Islam dan menghormati agama lain.

“Kita memerlukan parti yang besar seperti Pas untuk memainkan peranan memperbetulkan apa yang salah. Terlalu banyak masalah yang berlaku dalam negara dan kita tidak ada masa untuk terus berlawan demi menegakkan agenda masing-masing,” katanya.

Dalam perkembangan sama, Abdul Hadi membidas kenyataan Penasihat DAP, Lim Kit Siang yang memandang rendah kewujudan blok ketiga politik yang diwujudkan tersebut.

“Yang tahu masa depan (Pas dan Ikatan) hanya Tuhan,” katanya.